Followers

Thursday, May 22, 2014

BENARKAH ORANG MELAYU BEGINI#1

Inilah yang telah dikaji oleh mereka untuk menonjolkan kelemahan orang Melayu.
Orang Melayu cepat naik angin
Orang Melayu cepat mengamuk
Orang Melayu suka tunjuk garang
Orang Melayu cepat melatah
Orang Melayu kurang nak fikir pasal keburukan 
Orang Melayu kurang setia
Orang Melayu tak boleh bersatu
Orang Melayu akan sokong membuta-tuli sebab duit
Orang Melayu senang jadi tali-barut
Orang Melayu mudah berpaling tadah
Orang Melayu bukan pejuang sejati

Wednesday, May 21, 2014

Dari terminal ke terminal#2

NALURI SEORANG GURU

Seperti biasa hari itu aku bergerak ke UKM Bangi untuk sesi perbincangan bersama supervisor dan berjumpa rakan ku dari Singapura (Hj. Norman) seorang penulis dan wartawan yang sedang membuat kajian berkenaan gerakan pengganas di rantau Asia Tenggara.

Setiba di KL Sentral aku meninjau-ninjau mencari tempat duduk, maklumlah perjalanan dari Ipoh ke K.L pun dah memenatkan juga. Bangun awal mengejar masa takut tertinggal komuter dari stesen Ipoh.
Akhirnya dapat satu bangku untuk aku duduk, tiada perebutan mengejar bangku kosong disini, getus hati ku. Aku duduk dan mengeluarkan sebuah buku untuk aku baca dalam masa terluang itu. Wanita India disebelah ku bangun, mungkin dah jemu duduk agaknya.

"Encik, boleh saya duduk sebelah" sapa seorang lelaki cina kepada ku. Aku mengangkat kepala, memandang wajahnya dan tersenyum. Agak segak berpakaian lelaki itu, biasalah kat K.L, memang lelaki dan perempuan kelihatan bergaya, sebab aku hanya memakai seluar jeans, kemeja dan memakai sandal sahaja. Aku pun mempersilakan beliau duduk. Aku membaca semula, bukan buku ilmiah pun. Cuma buku motivasi tentang akhlak Rasulullah S.A.W.

"Encik dari mana" lelaki cina memulakan perbualan, aku menoleh dan terus menjawab, "Saya dari Ipoh bos". Tersenyum beliau aku memanggil dia boss. "Eh, jangan panggil saya bos, kita semua kuli", saya pun menjawab "Saya tak tahu dengan sapa saya bercakap sekarang, tapi awak memang macam boss...hahaha" aku ketawa cuba memancing hatinya. "Eh...bukanlah, saya yang nampak awak lain dari orang lain"..
Aku dah mula curiga, memikirkan apa maksud lelaki cina nih..

"Kenapa Boss cakap macam tu?" aku menyoal. "Ok, you nak pergi mana? tanya beliau kepada ku, aku pun memberitahu tujuan ku untuk ke UKM. "You buat apa kat sana?" soalnya lagi. "Saya student boss" jawab ku. "You student apa, degree, master?" lalu aku menjawab "Saya student Ph.D boss"
"Nah, sebab itu I tengok you pun I dah tau. You lain sebab you pegang buku, cuba you tengok keliling sekarang, apa mereka buat. Semua pegang gadget, macam tak ada kerja lain" kata beliau dengan nada kecewa dan menyambung "Ini semua salah..mereka sudah jadi anti-sosial" gerutunya, "Mereka sudah tidak berkenalan lagi ditempat macam ini, mereka sudah jadi orang yang rugi", aku tengok mukanya serius menyatakan kata-katanya. "Boss, saya pun baca buku macam pegang gadget juga" kata ku. "Bukan, pegang dan baca buku berbeza dengan main gadget" dan menyambung "Kalau mereka pegang gadget, mereka tak boleh concentrate dengan perbualan macam kita sekarang, kerana sekejap gadget berbunyi, vibrate...macamana nak concentrate nak sembang dengan orang baru kenal" dan bla...bla...bla...

Akhirnya aku bertanya apakah pekerjaan beliau, lalu beliau mengeluarkan sekeping kad nama yang tertera Prof. Dr. ...... dari sebuah institusi pengajian tinggi awam. Memang patut beliau berpandangan begitu, kerana inilah naluri seorang guru, yang sentiasa menginginkan semua anak muridnya atau pelajar mencintai ilmu.

Aku merasa amat bertuah hari ini kerana dapat berkenalan lagi dengan seorang ilmuan yang hebat.

Tuesday, May 20, 2014

Akhlak Salahuddin Al-Ayubi#2

Salahuddin dari pandangan Tentera Salib

Menurut Prof Dr Ahmad Shalaby yang memetik dari penulisan Emerton (Midiaeval Europe, ms.376), Setelah perang Salib yang ke 2, berlakulah suatu kejadian yang paling besar dalam sejarah peperangan Salib iaitu munculnya Salahuddin Al-Ayubi, menjadikan tentera Muslimin semakin kukuh. Gerakan tentera Islam telah mencapai satu tahap yang tinggi berkat seorang pemimpin barunya yang mempunyai peribadi yang agung. Bukan sahaja sifat kepahlawanannya, tetapi yang UTAMA adalah AKHLAKnya. Emerton juga menyatakan pujian beliau terhadap Salahuddin sebagai pemimpin yang pintar dalam menggariskan tempat dan tujuan peperangan.

Salahuddin juga adalah pemimpin yang memelihara ILMU PENGETAHUAN, menjadi contoh yang baik dalam MENEPATI JANJI, KEBERANIAN dan PEMURAH.

Ciri-ciri ini tidak terdapat dalam kepimpinan kaum Salib. Sifat mereka amat bertentangan dengan akhlak Salahuddin. Kaum Salib bersifat buas, kejam dan tidak menepati janji. Kerap-kali mereka mengkhianati perjanjian damai antara mereka dengan Salahuddin.

Sebagai contoh pada 15 Julai 1099, Baitul Maqdis telah jatuh ketangan Tentera Salib, ketika itu berlakulah peristiwa yang amat menyedihkan iaitu penyembelihan beramai-ramai kaum muslimin, kaum yahudi dan kristian yang enggan bergabung dengan tentera Salib itu. Seorang pengkaji, Gustav Le Bon menyatakan kaum-kaum salib itu tidak memadai dengan melakukan penganiayaan, kezaliman dan kerosakan, malah mereka telah mengadakan perbincangan dan memutuskan supaya semua penduduk Baitul Maqdis seramai 60,000 orang itu dibunuh. Dalam masa 8 hari lenyaplah kesemua mereka termasuk kanak-kanak, perempuan dan orang-orang tua.

Wells menceritakan dari "A short history of the Middle East". Peristiwa ini adalah suatu penyembelihan yang amat menggerunkan  dan berlaku di Baitul Maqdis. Darah orang-orang yang dibunuh telah mengalir disepanjang jalan sehingga percikan darah itu mengenai orang-orang yang berkuda. Apabila waktu malam, kedengaran pula tangisan tentera salib yang terlampau suka kerana mengharungi darah yang mengalir dijalanraya laksana arak yang mengalir dari perahan anggur. Kemudian mereka menuju ke perkuburan kristian sambil mengangkat tangan yang berlumuran darah itu memohon kesyukuran kepada tuhan.

Berbeza dengan sikap Salahuddin yag diceritakan. Raynald, pemerintah kaum salib di Al-Karak (Sebuah bandar di Jordan) telah mengkhianati perjanjian damai dengan Salahuddin. Pada satu masa ketika Raynald dengan berani mencerobohi Tanah Suci Madinah dan bercita-cita untuk memindahkan makam Rasulullah S.A.W ke Al-Karak. Salahuddin sangat berang sehingga bersumpah akan menyembelih Raynald dengan tangannya sendiri. Ketika Raynald ditawan, beliau mencari jalan untuk melepaskan diri dari dibunuh. Keika didalam khemah Salahuddin, beliau meminta air dan meminumnya dengan yakin akan mendapat pengampunan. Keyakinan itu adalah berlandaskan budaya orang arab yang akan memaafkan sesiapa yang makan dan minum hidangan mereka. Tetapi perkara itu tidak mengubah pendirian Salahuddin, beliau terus menghayun pedang menuju ke tengkuk Raynald, bagaimanapun pedang itu terhenti diatas tengkuk Raynald, Raja kejam itu mengigil ketakutan, tetapi Salahuddin berkata "SESUNGGUHNYA RAJA TIDAK MEMBUNUH RAJA".  

Monday, May 19, 2014

Akhlak Salahuddin Al-Ayubi#1

Ketika peperangan memuncak disekitar Akka. Tentera Muslimin telah berjaya merampas banyak hartabenda musuh. Di antara rampasan itu termasuklah seorang bayi yang masih menyusu. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan ibu bayi itu, dia terus terpekik-terlolong memohon pertolongan dari tentera salib dan menangis. Ibu bayi terus berkeadaan sedemikian sepanjang malam. Tentera-tentera salib gagal untuk menenangkan. Pemimpin-pemimpin tentera salib membuat keputusan untuk melepaskan tanggungjawab terhadap ibu itu dengan membenarkan beliau pergi ke markas tentera Muslimin.

Ibu itu terdedah kepada bahaya dibunuh, tetapi disebabkan perasaan kasih sayang terhadap bayinya, beliau sanggup menempuh bahaya yang mungkin berlaku, asalkan beliau dapat menemui bayi kesayangannya. Ketika sampai ke markas tentera Muslimin, Salahuddin sedang berada diatas kudanya bersedia untuk perjalanan ke medan perang. Salahuddin merasa kasihan terhadap ibu itu seraya bertanya hajatnya. Apabila mendengar cerita ibu dari kaum salib itu, Salahuddin terus memerintahkan bayi itu dikembalikan kepangkuan ibunya dengan segera. Ibu itu pun menerima bayinya semula dengan tangisan, peluk cium dan terus menyusukan bayinya. Salahuddin amat gembira dengan keadaan itu, melihat begitu besar kasihan sayang seorang ibu yang sanggup mengharungi medan peperangan dan memasuki markas musuh demi kasih terhadap anaknya.

Kemudian Salahuddin memerintahkan supaya ibu itu dinaikkan keatas seekor kuda untuk membolehkan ia dan bayinya kembali ke markas tentera salib.